Selamat Datang ke Portal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS)

BAITULMAL ZIARAH KES TULAR PULAI PERDANA

SEREMBAN, 16 Ogos - Telah tular dalam laman sosial dan aplikasi WhatsApp mengenai ibu anak enam, Siti Sarah Idris yang menjaga suaminya yang terlantar sakit tidak mempunyai apa-apa makanan di rumah baru-baru ini. Laporan asal daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mengenai kisah tersebut telah mendapat perhatian warganet dan penduduk setempat serta mengundang pelbagai reaksi.

Oleh hal yang demikian, pihak Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan melalui Bahagian Agihan Seremban telah turun padang menziarahi keluarga ini pagi tadi. Hasil ziarah mendapati, ketika laporan tular tersebut dibuat, permohonan BaitulMal Siti Sarah baru sahaja diluluskan dan beliau belum sempat dimaklumkan mengenai kelulusan bantuan untuknya.

Pihak BaitulMal juga telahpun mengumpulkan pelbagai informasi sebenar dan tepat mengenai keadaan semasa Siti Sarah sekeluarga. Selain daripada bantuan wang tunai segera yang disampaikan semasa ziarah pagi tadi, BaitulMal akan turut membantu daripada segi bantuan perubatan untuk suaminya yang terlantar, bantuan perniagaan dan gotong-royong membersihkan premis perniagaan beliau yang dijadikan tempat tinggal mereka sekeluarga.

Ketika ditemu ramah, beliau tidak menyangka kisah mereka sekeluarga akan tular. Beliau juga melahirkan rasa kurang selesa dengan cara penulisan berita tersebut kerana beliau sendiri tidak pernah meminta-minta bantuan walaupun berada dalam keadaan serba kekurangan sebelum ini. Walaubagaimanapun, beliau berterima kasih atas keprihatinan orang ramai, NGO dan BaitulMal yang mengambil cakna tentang keluarga beliau.

lokasi

  Pejabat Setiausaha MAINS, Aras 14, Menara MAINS, Jalan Taman Bunga, 70100 Seremban Negeri Sembilan

  info@mains.gov.my

  06-765 1402 / 06-765 1405

  06-762 0648

ADUAN / PERTANYAAN

MEDIA SOSIAL

fb insta youtube
© Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. All Rights Reserved.