Selamat Datang ke Portal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS)

"FORMULA MENJAGA KEBAJIKAN ORANG ISLAM ADALAH DENGAN BERZAKAT” - YTM UNDANG LUAK JOHOL

JOHOL, 14 Ogos - “Nabi sudah memberitahu kepada kita lebih 1400 tahun dahulu lagi. Formula menjaga kebajikan orang Islam adalah dengan berzakat. Alhamdulillah, dengan rezeki yang Allah beri, saya sendiri sudah menunaikan zakat wang simpanan dan zakat perniagaan saya,” begitu antara sabda Yang Teramat Mulia Dato’ Johan Palawan Lela Perkasa Setiawan, Dato’ Mohammed bin Hj. Abdullah, Undang Luak Johol dalam Program Ibadah Korban Bersama Asnaf Wilayah Timur, Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan (PBMalNS) di Masjid Kariah Kepis Hilir, Johol pagi tadi.

“Majlis korban sebegini adalah sebuah kefardhuan dalam Islam selain ianya sunnah yang diangkat oleh agama. Di sinilah yang kaya dan yang miskin akan berkongsi rezeki dan mengeratkan hubungan sesama kita,” tambah YTM lagi.

Kebawah Kaus YTM Undang Luak Johol telah berkenan berangkat ke program tersebut bersama-sama isteri, Tok Puan Faridah Hanom binti Jaafar bagi turut meraikan asnaf-asnaf dalam kawasan Johol melalui program yang mendapat kerjasama pihak Masjid Kariah Kepis Hilir ini. Seramai 84 orang asnaf fakir dan miskin dalam 8 kariah kawasan tersebut telah hadir dan menerima bahagian masing-masing dengan setiap asnaf mendapat 2 kilogram daging beserta tulang dan saguhati kehadiran berjumlah RM100 setiap seorang.

Para asnaf yang hadir juga dihidangkan dengan santapan rohani disampaikan oleh Hj. Norazman bin Amat, Ketua Jabatan Kaunseling dan Infrastruktur Khas, PBMalNS manakala ucapan aluan telah disempurnakan oleh Ust. Zainal bin Said, Ketua Jabatan Zakat, PBMalNS. Kebawah Kaus YTM Undang Luak Johol juga telah berkenan mengurniakan bahagian korban yang telah diperuntukkan kepada para asnaf pada akhir program.

Turut hadir YB Saiful Yazan bin Sulaiman, ADUN Kawasan Johol, YM Tunku Yazid bin Tunku Adzim, Penyelaras DUN Johol, Ust. Radzi bin Mohd. Yusof, Pegawai Agama Islam Johol, Zulkefle bin Karim, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kepis Hilir serta Malik bin Udin, Pengerusi Masjid Kariah Kepis Hilir, Johol, Kuala Pilah.

lokasi

  Pejabat Setiausaha MAINS, Aras 14, Menara MAINS, Jalan Taman Bunga, 70100 Seremban Negeri Sembilan

  info@mains.gov.my

  06-765 1402 / 06-765 1405

  06-762 0648

ADUAN / PERTANYAAN

MEDIA SOSIAL

fb insta youtube
© Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. All Rights Reserved.