Selamat Datang ke Portal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS)

KES 4 BERANAK TIDUR DALAM KERETA SELESAI

SEREMBAN, 18 Dis - Tular sejak semalam isu 4 beranak hanya tidur dalam kereta di kawasan parkir Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) lantaran tidak mampu menyelesaikan tunggakan bayaran sewaan rumah selama 4 bulan.

Informasi yang diterima daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan mengenai keluarga ini telah mendapat perhatian Perbadanan BaitulMal Negeri Sembilan (PBMalNS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seremban yang sememangnya telah membantu mereka sebelum ini.

Terdahulu, dalam hantaran yang tular di media sosial itu menceritakan kesusahan Razali Ali, 51, dan Effazirizan Zulkefli, 38, bersama 2 orang anak berumur 12 dan 1 tahun yang telah hampir seminggu tinggal di dalam kereta setelah terpaksa keluar dari rumah sewa.

Pertemuan antara keluarga ini bersama-sama dengan PBMalNS dan JKM telah diatur pagi tadi bertempat di Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban, Seremban 2. Difahamkan, pekerjaan terkini Razali adalah penebar roti canai dengan upah RM35 sehari manakala Effazirizan tidak bekerja. Setelah bercerita dan berbincang mengenai permasalahan yang dihadapi, beberapa pelan bantuan telah dirangka.

Untuk sementara waktu, Pusat Perkhidmatan Rakyat ADUN Rahang dan Majlis Komuniti Pengurusan Kampung (MPKK) Kampung Baru Rasah telah mencarikan sebuah rumah sewa sementara sebelum diusahakan untuk menduduki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) daerah ini. Deposit rumah sewa dan perbelanjaan permulaan akan dibantu oleh PBMalNS selain bantuan tunai kecemasan sebanyak RM300 yang telah diserahkan dalam pertemuan tadi.

Bantuan telah disampaikan oleh Ust. Mohd. Zahid Mohammad, Ketua Unit Kebajikan, Bahagian Agihan, Jabatan Zakat, PBMalNS. Hadir sama Norhafizah Abdul Salam, Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat dan Chan Yi Teng, Pegawai Psikologi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Seremban.

Berdasarkan rekod, Razali adalah penerima bantuan perubatan dan bantuan am kebajikan sejak 2007 dan Effazirizan juga menerima bantuan-bantuan tersebut serta bantuan persekolahan anak sejak tahun yang sama.

Foto | Berita: Unit Media Baharu/Abu Aaesya

BERITA LAIN

lokasi

  Pejabat Setiausaha MAINS, Aras 14, Menara MAINS, Jalan Taman Bunga, 70100 Seremban Negeri Sembilan

  info@mains.gov.my

  06-765 1402 / 06-765 1405

  06-762 0648

ADUAN / PERTANYAAN

MEDIA SOSIAL

fb insta youtube
© Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. All Rights Reserved.