Selamat Datang ke Portal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS)

ATLET PARALIMPIK NEGARA SEWA SURAU LAMA

SEREMBAN, 12 Jun - Tidak mampu membayar kadar sewa rumah yang dinaikkan menyebabkan atlet paralimpik negara, Mohd. Zaiani Mohd. Diah, 41, bersama isteri dan 4 orang anak terpaksa keluar dan kini menyewa sebuah surau lama di Taman Seremban Jaya sejak Mac lalu. Difahamkan surau tersebut tidak lagi digunakan kerana telah berpindah ke bangunan surau baharu. Atas ihsan jawatankuasa Surau Taman Seremban Jaya Fasa 1 serta penduduk setempat, 6 beranak ini diberi kebenaran untuk tinggal dan menyewa dengan kadar RM200 sebulan.

“Saya pernah mewakili Negeri Sembilan dalam acara boling sepuluh pin (tenpin) pada tahun 2014 hingga 2017 sebelum mula aktif dalam acara boling padang dan mewakili negara dalam Sukan Asia Paralimpik 2019 di Bukit Kiara tahun lalu. “Sekarang saya masih dalam tempoh kontrak hingga 2023 tetapi belum menerima sebarang elaun walaupun saya pernah memenangi pingat dalam beberapa kejohanan,” kata Zaiani yang juga adalah penerima bantuan Baitulmal sejak 2008. Berdasarkan rekod, Zaiani pernah dibantu dengan bantuan am kebajikan sebanyak 7 kali termasuk bantuan memulakan perniagaan urutan dan bekam berjumlah RM5,488 pada tahun 2012. Beliau kini masih menjalankan perkhidmatan tersebut dan mampu menanggung sedikit sebanyak perbelanjaan keluarga.

Beliau yang juga tenaga pengajar Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sekolah Kebangsaan Sega, Rantau bersyukur dan berterima kasih kepada penduduk Taman Seremban Jaya kerana memberi keizinan untuk isteri dan anak-anaknya yang berusia 12, 10, 4 dan 2 tahun berteduh di surau lama tersebut. Anak sulung beliau, Muhammad Shariff Hidayatullah Mohd. Zaiani merupakan seorang murid cemerlang di sekolah dan kini berada dalam tanggungan Yayasan Wardatul Jannah yang berpusat di Kota Damansara, Selangor.

Ziarah Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan MAINS (PBMalNS MAINS) pagi tadi bertujuan mengambil maklumat terkini dan menyampaikan bantuan tunai segera. Borang-borang bantuan susulan juga telah diserahkan dan akan disalurkan setelah semua permohonan lengkap dinilai. Hadir sama Ketua Wilayah Tengah PBMalNS MAINS, Che Som Omar, Pengerusi Surau Taman Seremban Jaya Fasa 1, Zainal Abidin Mat Kesi, Pegawai Agihan Senawang, Mohd. Suhaimi Mohd. Aziz, Ketua Unit Komunikasi Korporat, Muzzammil Ismail bersama eksekutif, Mohd. Haffis Abdul Nasir.

Foto: Unit Media Baharu/Abu Aaesya

BERITA LAIN

lokasi

  Pejabat Setiausaha MAINS, Aras 14, Menara MAINS, Jalan Taman Bunga, 70100 Seremban Negeri Sembilan

  info@mains.gov.my

  06-765 1402 / 06-765 1405

  06-762 0648

ADUAN / PERTANYAAN

MEDIA SOSIAL

fb insta youtube
© Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. All Rights Reserved.