Selamat Datang ke Portal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS)

"KAMI INGIN BERDIKARI"

10n0v2020

BATU KIKIR, 10 Nov - "Saya dan isteri memang ingin hidup berdikari walaupun rumah emak saya tidak sampai 50 meter dari pondok kami ini," kata Zairiman Aziz, 44, ketika diziarahi Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan MAINS (PBMalNS) pagi tadi. Kisah kesukaran hidup Zairiman sekeluarga yang berlegar di media sosial baru-baru ini mendapat perhatian pihak berwajib yang sememangnya telah lama membantu bukan hanya beliau, isteri dan anaknya, malah ibu serta bapa saudara yang tinggal dalam kampung yang sama. "Kami telah melawat Zairiman di pondok ini sejak September tahun lalu dan tahun ini sahaja kami telah ziarah sebanyak 3 kali termasuk membantu untuk pembinaan rumah yang sedang dalam proses menunggu di peringkat pejabat daerah," kata Mohd. Aidil Abdullah, Penyelaras DUN Juasseh yang turut sama dalam ziarah pagi tadi. "Dalam tempoh menunggu ini pula, ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak melalui kami, MPKK atau pun pejabat daerah, mereka menyalurkan bantuan dan timbul pula beberapa kekeliruan," tambah beliau.

Menurut Aidil, rumah bapa saudara Zairiman baru sahaja dibaik pulih pada bahagian atap, dinding dan lantai termasuk pembinaan tandas baharu dan laluan masuk ke rumah. Menurut beliau lagi, sememangnya semua penduduk dalam kawasan Kampung Guntor mahupun Kampung Tengkek adalah sentiasa di bawah perhatian pihaknya. Dalam ziarah tersebut, PBMalNS Wilayah Timur telah mengambil maklum keperluan terkini Zairiman dan menyampaikan sumbangan barangan dapur. Bantuan susulan juga akan disalurkan dalam masa terdekat.

Bantuan telah disampaikan oleh Ketua Wilayah Timur, PBMalNS, Mohd. Shahrizad Abu Kasim dan dibantu Pegawai Agihan Kuala Pilah, Mohd. Irfan Aqil Kamaruddin dan Kaunselor PBMalNS, Muhammad Ashraf Zakaria. Ziarah juga sempat melihat keadaan terkini ibu kandung Zairiman yang menerima bantuan bulanan Baitulmal sejak tahun 2005. Selain PBMalNS, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga turut sama dalam ziarah dan menyampaikan bantuan wang tunai kecemasan serta bantuan bulanan berjumlah RM270 bermula Disember ini. Difahamkan juga, isteri Zairiman menerima bantuan bulanan barangan dapur di bawah Rakan Ziarah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS). Agensi lain yang hadir ialah pihak Pejabat Daerah Kuala Pilah diketuai sendiri Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap dan pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Guntor. 

Foto: Unit Media Baharu/Abu Aaesya.

BERITA LAIN

lokasi

  Pejabat Setiausaha MAINS, Aras 14, Menara MAINS, Jalan Taman Bunga, 70100 Seremban Negeri Sembilan

  info@mains.gov.my

  06-765 1402 / 06-765 1405

  06-762 0648

ADUAN / PERTANYAAN

MEDIA SOSIAL

fb insta youtube
© Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. All Rights Reserved.