Selamat Datang ke Portal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS)

1 PAGI PINDAHKAN WANITA, 4 ORANG ANAK


9nov2020


Sudah 2 malam seorang ibu bersama 4 orang anaknya tinggal dalam sebuah rumah yang ditumpangkan buat sementara waktu tanpa bekalan elektrik dan air. Sebelum ini, ibu tersebut yang berusia 38 tahun bekerja di sebuah kedai dobi di Sikamat dan diberikan tempat tinggal oleh majikan. Malangnya, akibat pandemik, ibu ini diberhentikan kerja. Ibu ini terpaksa keluar dari tempat tinggal bekas majikan dan membawa anak-anaknya mencari tempat berteduh yang baharu. Tanpa suami di sisi, tanpa kenderaan untuk dinaiki. Hadir seorang insan mulia memberikan tempat berteduh untuk 5 beranak ini di sebuah apartmen di Sikamat. Walau bagaimanapun, rumah yang diberikan untuk tinggal sementara itu tidak mempunyai bekalan elektrik malah tiada juga bekalan air. Tetapi sekurang-kurangnya, ibu ini lega, anak-anaknya ada tempat untuk berteduh. Kami tiba di lokasi yang diberikan seorang pengadu dalam jam 9.30 malam semalam. Ketika memasuki rumah tersebut, rasa bahang terus menerpa. Agaknya, bagaimanalah anak-beranak ini tidur dan menguruskan aktiviti seharian. Kelihatan beberapa batang lilin dinyalakan. Kehadiran kami disambut oleh anak-anak kecil wanita ini yang berusia 4 dan 6 tahun. Mereka terus duduk di pangkuan ibunya. Selepas dipersilakan duduk, kami bertanya khabar kepada ibu ini tentang nasib kehidupannya dan perancangannya selepas ini. Ketika masih dalam perbualan, anak bongsu baring dalam dakapan ibunya. Tidak sampai beberapa minit, lelap matanya. Ditepuk-tepuk, diusap-usap. Sayu hati. Hanya ditata cahaya sebatang lilin, tanpa hembusan angin kipas, tidur juga anak ini. Anak perempuan berusia 6 tahun pula, sibuk membantu ibunya. Tolong ambil fail, tolong ambil kad pengenalan ibu, tolong keluarkan dokumen-dokumen dari dalam fail. Sesekali menyuap jajan barangkali diberi jiran. Kehadiran kami tidak beberapa ketika turut disertai pihak MPKK. Setelah berbincang panjang, kami mengambil keputusan untuk memindahkan anak-beranak ini ke sebuah hotel berhampiran untuk sementara waktu sebelum ibu ini diberi rumah sewa untuk meneruskan kehidupan. Dengan amanah zakat yang ditunaikan bersama kami, dapatlah ibu ini berehat bersama anak-anak dengan kemudahan asas seperti dimiliki orang lain. Dengan amanah zakat ini juga, kami akan membantu ibu ini mendapatkan rumah sewa, menjelaskan bayaran deposit dan sedikit bantuan kewangan untuk memulakan kehidupan baharu. Kami selesai memindahkan anak-beranak ini sekitar jam 1.30 pagi. Petugas-petugas Allah yang terlibat ialah Pegawai MAINS Daerah Seremban, Che Som Omar, Ketua Skuad Gerak Khas MAINS, Mohd. Zahid Mohammad, Pegawai Skuad Gerak Khas MAINS, Amir Syukri Abdul Jalil dan Pemandu MAINS, Mohd. Fauzi Mohd. Hashim .



Foto: Unit Media Baharu/Abu Aaesya.

 


BERITA LAIN

lokasi

  Pejabat Setiausaha MAINS, Aras 14, Menara MAINS, Jalan Taman Bunga, 70100 Seremban Negeri Sembilan

  info@mains.gov.my

  06-765 1402 / 06-765 1405

  06-762 0648

ADUAN / PERTANYAAN

MEDIA SOSIAL

fb insta youtube
© Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. All Rights Reserved.