Selamat Datang ke Portal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS)

AGIHAN DAN KEWAJIPAN


 Zakat merupakan tunjang dalam pembelaan asnaf dan ummah. Lantaran itu Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan sentiasa memastikan kutipan zakat di Negeri Sembilan dapat dimaksimumkan dan diuruskan dengan baik, telus dan menyeluruh disamping mengagihkannya kepada yang berhak.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Sesungguhnya zakat itu hanya untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus zakat (amil), muallaf yang dipujuk hati mereka, untuk memerdekakan hamba, orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai ketetapan yang diwajibkan oleh Allah dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."

(At-Taubah 9 : 60)

 

Takrifan Asnaf - Siapakah Asnaf ?

1. Fakir
Asnaf Fakir ialah seorang yang tidak mempunyai sebarang harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan daripada sumber-sumber lain tetapi jumlahnya tidak sampai 50% daripada had kifayah untuk keperluan asas dirinya dan tanggungannya.

Kriteria Asnaf Fakir :
a. Orang yang tiada harta atau pendapatan kerana hilang upaya bekerja dengan sebab :
i. Hilang keupayaan fizikal seperti uzur, cacat, sakit berpanjangan dan seumpamanya.
ii. Hilang keupayaan mental seperti gila, sakit mental, hilang ingatan dan seumpamanya.
b. Orang yang ada harta atau pekerjaan atau pendapatan, tetapi tidak mencapai 50% had kifayah dirinya dan tanggungannya.
c. Orang yang kehilangan sumber nafkah secara kekal dan tiada ahli keluarga yang dapat menyara kehidupannya.
d. Kefakiran berlaku bukan disebabkan malas bekerja atau tidak berusaha mencari pekerjaan.
e. Mendapat bantuan daripada mana-mana pihak tetapi masih tidak mencukupi had kifayah.

 

2. Miskin
Seorang yang mempunyai pekerjaan atau pendapatan yang melebihi 50% tetapi tidak mencapai had kifayah untuk keperluan asas dirinya dan tanggungannya.

Kriteria Asnaf Miskin
a. Orang yang memiliki harta atau pekerjaan atau pendapatan tetapi tidak mampu menampung had kifayah dirinya dan tanggungannya.
b. Harta atau pendapatan yang dimiliki mampun menampung lebih 50% keperluan asasi dirinya dan tanggungannya tetapi masih belum mencukupi had kifayah.
c. Orang yang memiliki harta atau pendapatan tetapi tidak mencukupi untuk menanggung kos keperluan asasi yang tinggi seperti kos rawatan.
d. Kemiskinan yang sementara atau mendesak.

 

3. Amil
Mereka yang dilantik secara langsung oleh pemerintah dan ulul amri sama ada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk pemungutan, pengagihan, pengurusan kewangan dan sebagainya.

 

4. Muallaf
Muallaf adalah seseorang yang baru memeluk Islam atau seseorang yang dijinakkan hatinya dalam kalangan mereka yang belum memeluk agama Islam atau yang perlu ditarik simpatinya kepada Islam atau diharap dapat membela orang Islam atau yang perlu diamankan kejahatannya terhadap orang Islam.

 

5.Riqab

Orang Islam yang dibelenggu atau dieksploitasi dari aspek pemikiran,harta benda, kekuasaan dan kebebasan yang tidak mampu membebaskan dirinya daripada belenggu tersebut.

 

6. Al-Gharimin
Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahantan diri, keluarga dan tanggungannya atau masyarakat serta individu yang ditimpa musibah dan hutang yang dibenarkan oleh hukum syarak.

 

7. Fisabilillah
Mana-mana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam sesuatu aktiviti untuk menegak, mempertahan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.

 

8. Ibnu Sabil
Ibnu Sabil ialah orang Islam yang kehabisan belanja semasa memulakan perjalanan atau dalam perjalanan yang mendatangkan manfaat serta sesuai dengan hukum syarak.

ZAKAT > AGIHAN
BORANG BANTUAN

lokasi

  Pejabat Setiausaha MAINS, Aras 14, Menara MAINS, Jalan Taman Bunga, 70100 Seremban Negeri Sembilan

  info@mains.gov.my

  06-765 1402 / 06-765 1405

  06-762 0648

ADUAN / PERTANYAAN

MEDIA SOSIAL

fb insta youtube
© Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. All Rights Reserved.